Bahasa Melayu | English
Text size :
Yang BerhormatDatin Paduka Hajah Zasia binti Sirin
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin dilahirkan pada 24 September 1956 di Negara Brunei Darussalam. Mempunyai kelulusan M.A. (Islamic Studies) dan B.A (Usuluddin) dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Yang Berhormat mula berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Februari 1980 sebagai Pegawai Ugama. Sepanjang perkhidmatannya Yang Berhormat telah memegang beberapa jawatan di antaranya Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan dan Pengarah Pusat Dakwah Islamiah. Yang Berhormat juga pernah menghadiri beberapa mesyuarat, seminar dan persidangan bagi mewakili Kementerian Hal Ehwal Ugama antaranya Seminar Persidangan Antarabangsa ‘Psychology-Developing Identity and Personality of Muslim Youth”, Mesyuarat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali ke II pada tahun 2004, Persidangan ‘Cebu Dialogue On Regional Interfaith Cooperation For Peace, Development And Human Dignity dan Meeting of International Experts on Human Rights in Islam pada tahun 2006.
Yang Berhormat juga pernah memegang beberapa lantikan jawatankuasa penting di sepanjang perkhidmatannya. Yang Berhormat dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada 1 Jun 2011 (Kalangan Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan) dan pernah menjadi ahli delegasi dari Negara Brunei Darussalam ke Perhimpunan Agung AIPA (Asean Inter-Parliamentary Assembly) ke-32 di Cambodia pada September 2011.