Yang Amat Mulia
Pengiran Setia Negara Pengiran Haji
Mohd. Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim
Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Mohd. Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim dilahirkan pada 2 Mei 1921, di Kampung Kandang, Daerah Tutong, Negara Brunei Darussalam. Pada bulan September 1939 hingga Disember 1941 Yang Amat Mulia telah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjong Malim, Perak, Malaya. Pernah mengikuti latihan Pelajaran Bahasa Jepun di Kyoin Yoseijo Kuching, Sarawak pada tahun 1943 dan menuntut di Hiroshima University, Hiroshima Japan (Hiroshima Bunreika Dai Gaku) pada tahun 1945. Manakala September 1954 hingga April 1956 menuntut di South Devon Technical College, Torque, Devonshire, England dalam bidang Public and Social Administration. Antara jawatan yang pernah dipegang ialah pada 1 Januari 1939 dilantik menjadi Guru di Sekolah Melayu Bukit Bendera Tutong dan pada Julai 1961 hingga Disember 1963 dilantik menjadi Deputy State Secretary Brunei merangkap jawatan State Radio dan Information Officer. Yang Amat Mulia juga merupakan Setiausaha Kerajaan Brunei yang pertama iaitu bermula pada 18 Januari 1964 hingga Disember 1966.
Senikata Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Selamatkan Sultan” adalah merupakan hasil ciptaan yang dikarang dan disusun oleh Yang Amat Mulia dengan menggunakan nama pena Yura Halim. Sebelum bersara Yang Amat Mulia Pengiran telah memegang jawatan Menteri Besar pada 1 Januari 1967 sehingga Disember 1973 dan setelah bersara Yang Amat Mulia telah dilantik untuk memegang beberapa jawatan di antaranya pada tahun 1989 hingga 2000 menjadi Pengarah Brunei Press, Pengarah Baiduri Bank, Brunei dan Baiduri Security pada tahun 1994 hingga Jun 2000 dan pada tahun 1992 Yang Amat Mulia Pengiran telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Meneliti Kertas “Perlembagaan Negara Brunei Darussalam” Pindaan dan Tambahan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang baru.
Yang Amat Mulia Pengiran telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia pada 17 November 1995 dan Duta Besar ke Jepun pada September 2001 hingga September 2002. Anugerah gelaran yang diterima ialah menjadi Pembesar Negara menjadi Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Negara dan selepas itu pada 16 Mei 1968 dinaikkan menjadi Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara dan juga telah dianugerahi beberapa penghormatan antaranya Asean Award 1987, Guru Berbakti 1993, South East Asia Write Award pada tahun 1993, Ijazah Dr. Kehormat Dr. of Litts, Dr. Persuratan dari Universiti Brunei Darussalam tahun 1996 dan Ijazah Kehormat Pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak, Malaysia tahun 2002. Yang Amat Mulia juga adalah merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat bermula pada tahun 1974, Ahli Majlis Mesyuarat Diraja bermula pada Februari 1989 dan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada 6 September hingga 15 Mac 2011 dan pada I Jun 2011 dilantik semula menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negara (Kalangan Orang-Orang Yang Bergelar). Yang Amat Mulia juga pernah menjadi ahli delegasi dari Negara Brunei Darussalam ke Perhimpunan Agung AIPA (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly dan Asia Pacific Parliamentary Forum (APPF).