BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sempena Hari Juruukur
Sedunia 2022, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan mengadakan aktiviti
penanaman sebanyak 300 pokok di Taman Rekreasi Tanjung Batu, Muara, hari
ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan turut serta dalam aktiviti penanaman
pokok berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri
Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua Kampung
Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan Pemangku Penghulu
Mukim Serasa, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji
Osman @ Othman serta Pengasas Bersama dan Pengarah Pendekatan Komuniti
Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ash’ari.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar
Haji Marzuke bin Haji Mohsin, setiausaha tetap, pemangku setiausaha
tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua pengarah kerja raya, ketua-ketua
jabatan di bawah Kementerian Pembangunan, pegawai kanan dan kakitangan
Jabatan Ukur serta ahli-ahli Institusi Geomatik Brunei (B.I.G).
Acara dimulakan dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan bacaan
Surah Al-Fatihah dan Doa Perlindungan daripada COVID, aktiviti senaman
ringan serta aktiviti penanaman pokok yang diketuai oleh Yang Berhormat
Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi.
Acara diakhiri dengan pengagihan hadiah kepada para peserta Virtual Run
22km di mana acara larian maya itu merupakan salah satu aktiviti yang
diadakan oleh Jabatan Ukur sempena Hari Juruukur Sedunia 2022 bermula
pada 1 hingga 22 Mac lalu.
Penanaman 300 pokok itumerupakan salah satu usaha mendukung Garis
panduan Protokol Hijau dalam Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara
Brunei Darussalam.
(Sumber berita: Media Permata)