BELAIT, 21 MAC – Dengan matlamat untuk meningkatkan
kesedaran mengenai kepentingan hutan di samping memperingati Sambutan
Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini, Kementerian Sumber-sumber Utama
dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan telah mengadakan
acara penanaman pokok di kawasan Hutan Simpan Andulau, berdekatan Pusat
Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus merasmikan penanaman sebanyak
213 pokok yang terdiri daripada spesies tempatan, Ru runang (Gymnostoma
nobile), ialah Pengarah Perhutanan KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji
Ibrahim.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash‘ari bagi mewakili Green Brunei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tema sambutan pada tahun ini
ialah ‘Hutan dan Penghasilan dan Penggunaan Mampan’ yang menunjukkan
bahawa berbagai-bagai produk dan perkhidmatan dapat dijana dan
dihasilkan daripada sumber hutan yang terdapat di negara ini dan
kepentingannya kepada keperluan manusia dengan memastikan pengambilannya
secara terkawal atau tidak berlebih-lebihan untuk menjamin keutuhan
hasil sumber hutan tetap dapat dinikmati oleh generasi negara yang akan
datang.
Dengan adanya acara menjaga sumber kehijauan itu, ia secara tidak
langsung menunjukkan tanggungjawab dan komitmen Jabatan Perhutanan
lebih-lebih lagi dalam memastikan pengurusan hutan yang lestari sekali
gus meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan hutan, bukan sahaja
dari segi pemuliharaan tetapi juga dari segi faedahfaedah hutan yang
dapat diraih kini dan pada masa akan datang.
Acara penanaman itu juga sebagai mendukung inisiatif KSSUP untuk
mencapai sasaran negara dalam melaksanakan Garis Panduan Protokol Hijau
sejajar demi mencapai sasaran Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara
Brunei Darussalam (BNCCP).
Turut hadir semasa acara penanaman berkenaan ialah para pegawai dan kakitangan
Jabatan Perhutanan, perwakilan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei Darussalam serta para sukarelawan Green Brunei.