Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

30.05.19 Majlis Khatam Al-Quran Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat 1440H/2019M

Hari Khamis, 30 Mei 2019, Bangunan Dewan Majlis (Jalan Dewan Majlis) –  Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran serta Solat Fardhu Maghrib berjemaah sebelum Majlis Berbuka Puasa dan dilaratkan ke Solat Fardhu Isyak dan Solat Tarawih dan Witir berjemaah.  Majlis adalah anjuran Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang disertai oleh pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.  Majlis tersebut diadakan di Surau jabatan tersebut pada jam 5.00 petang tadi. 

Hadir ke majlis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Khatam Al-Quran tersebut didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid dan kemudiannya diikuti dengan Bacaan Surah-Surah Lazim, Bacaan Takhtim, Bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Zikir Asrakal. 

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, seperti lazimnya Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat juga memberikan sumbangan Hari Raya kepada 2 orang kakitangan jabatan tersebut. 

Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan satu aktiviti ibadah yang diadakan setiap tahun dengan bertujuan melipat gandakan amal dan pahala dan sentiasa mengingati Allah SWT terutamanya pada bulan yang suci ini di samping memupukkan lagi semangat membaca Al-Quran pada hari-hari terakhir di bulan Ramadhan ini.  Seperti firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah Asy-Syura ayat 52, "Dan demikian juga Kami mewahyukan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) roh (al-Quran yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami.  Sebelumnya engkau tidak pernah mengetahui apakah al-Quran itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al-Quran sebagai cahaya yang Kami kurniakan petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami.  Dan sesungguhnya engkau memberi petunjuk (dengan al-Quran itu) ke jalan yang lurus".

Attachments