Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

02.03.19 Istiadat Pembukaan Rasmi MMN Kali Ke-15

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara akan dilangsungkan pada hari Khamis, 30 Jamadilakhir 1440H bersamaan dengan 07 Mac 2019 bertempat di Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

20190103_151242.jpg

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan pengurniaan perutusan titah sebagai bermulanya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Musim Kelima Belas ini akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, dan dibantu oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara memasuki usia 15 tahun persidangan sejak ianya ditubuhkan semula pada tahun 2004.    Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada setiap tahun di bulan Mac  untuk membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan tahunan bagi setiap Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan sebelum berakhirnya tahun kewangan pada setiap 31 Mac.  Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan membincangkan Rang Undang-Undang (2019) Perbekalan,  2019/2020; yang akan diguna pakai bermula pada 1 April 2019.

Selain dari Belanjawan tahunan, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara juga akan membincangkan perkara-perkara yang relevan dan signifikan kepada rakyat dan negara secara bermuzakarah yang berlangsung dengan harmoni berlandaskan Melayu Islam Beraja.

Seperti petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun lepas bahawa hasrat Baginda agar Ahli Majlis Mesyuarat Negara menggunakan persidangan tersebut sebagai satu saluran dimana ahli-ahli dapat mengemukakan buah fikiran serta mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan yang besar kepada negara dan rakyat

Pada persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas di tahun lepas telah bersidang selama 12 hari yang telah membincangkan pelbagai isu kemajuan, sosial dan memperkembangkan produktiviti Kerajaan dan pembangunan negara termasuk memperkukuhkan asas ekonomi agar ianya menjadi lebih mampan, luas, berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

Majlis Mesyuarat Negara telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan Ahli-Ahlinya dilantik menurut Bab 24.  Majlis Mesyuarat Negara telah dibubarkan pada tahun 1984 dan bersidang semula pada 25 September 2004.  Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berjumlah 36 orang terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan, Orang-Orang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Wakil-Wakil Yang Dilantik Dari Daerah-Daerah. 

Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini adalah dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.  Ianya juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa/mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan ini, bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara adalah diminta untuk mematuhi beberapa peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan Majlis termasuklah Peraturan-peraturan semasa di dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

Kod Pakaian MMN.JPG

Pada lazimnya, Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dibahagikan kepada Sesi Pagi yang bermula pada pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari dan Sesi Petang yang dimulakan pada pukul 2:00 petang hingga 4:30 petang.

Bagi sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada pihak Urusetia Majlis Mesyuarat Negara di talian 2380501.

Attachments