Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

28.11.18 Sesi Dialog MMN Dan Delegasi DPRA Republik Indonesia

Hari Rabu, 28 November 2018, Bangunan Dewan Majlis (Jalan Dewan Majlis) –    Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima kunjungan dari rombongan Komiti VII Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA), Republik Indonesia.  Kunjungan tersebut diterima oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, serta beberapa orang Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara sebagai wakil kepada Majlis Mesyuarat Negara.  Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Rombongan DPRA diketuai oleh Yang Berhormat Haji Ghufran Zainal Abidin, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Aceh dan disertai oleh ahli perwakilan DPRA yang lain, Yang Berhormat Ummi Kalsum dan Yang Berhormat Rusli.  Rombongan juga disertai oleh pegawai-pegawai dari DPRA dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brunei Darussalam.

DSC_0001.JPG

Pada kunjungan tersebut, sesi dialog telah diadakan dan diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @Sabli bin Haji Arsad, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah beberapa orang Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Awang Haji Sabtu, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii, dan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, di samping beberapa orang pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

DSC_0004.JPG

Sesi dialog ini telah mengeratkan lagi hubungan di antara kedua belah pihak dalam membincangkan hal-hal yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama.  Pada sesi dialog tersebut, kedua belah pihak berpeluang bertukar-tukar fikiran dan membuat perbandingan mengenai amalan dan perundangan yang lebih kurang sama di antara kedua belah pihak terutamanya undang-udang syariah (Hukum Kanun) yang berkuatkuasa dan dipraktikkan di kedua-dua tempat.  Undang-undang syariah secara berfasa telahpun berkuatkuasa di Negeri Aceh pada tahun 2002 manakala di Brunei Darussalam undang-undang tersebut diisytiharkan pada tahun 2013.

Hal-hal lain yang menjadi perbincangan utama juga adalah mengenai dengan pertanian iaitu produk-produk hasil tempatan yang dijadikan sebagai sumber pengeluaran dan eksport seperti produk kopi, minyak kelapa sawit dan juga cengkih dari negeri Aceh.  Seperti di negara Brunei juga, produk-produk tempatan juga diberi galakkan dan dibawa keluar negara bagi tujuan promosi dan seterusnya dijual seperti di negara China.

Kedua-dua belah pihak juga berkesempatan dalam membincangkan mengenai sektor pelancongan yang mana masih di dalam usaha bagi mempermudahkan perjalanan dan pelabuhan di antara kedua-dua pihak.  Sepertimana pada masa ini, rombongan yang menunaikan ibadah umrah sering membuat persinggahan di beberapa buah tempat, Brunei juga adalah antara tempat yang sering menjadi persinggahan bagi rombongan tersebut.  Laluan dari Aceh atau Indonesia perlu lagi dihalusi atau dilancarkan agar hubungan dua hala di sektor ini dapat ditingkatkan dan menjadi lebih kukuh.  Justeru juga, kedua-dua pihak berharap kunjungan ini akan mendapat kesinambungan pada masa yang akan datang.

Sesi dialog ditutup dengan sesi bergambar ramai dan berakhir pada pukul 11.30 pagi.

WhatsApp Image 2018-11-29 at 9.02.48 AM.jpeg

Attachments