Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

20.03.18 BND5.3 Bilion Diluluskan Bagi Tahun Kewangan 2018/2019

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Mac. – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berakhir hari ini dengan sidang sebulat suara meluluskan peruntukan belanjawan negara sejumlah lima ribu 300 juta ringgit atau 5.3 bilion ringgit bagi Tahun Kewangan 2018/2019 yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2018.

Persidangan juga telah menyelesaikan dan meluluskan suatu Akta iaitu yang bergelar Akta Pebekalan 2018/2019 dan akan mula kuat kuasanya pada 1 April 2018. Persidangan ini juga telah meluluskan 2 buah ketetapan-ketetapan iaitu Ketetapan Pertama adalah Ketetapan Di Bawah Fasal 83 (7) Dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 yang telah dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong untuk mencadangkan "Majlis ini membuat ketetapan menurut Fasal (7) Perkara 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, bahawa tiap-tiap Perintah yang dibuat di bawah Fasal 3 perkara 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai Kertas Nombor 1 Tahun 2018 adalah masing-masing mulai dari tarikh Perintah itu diluluskan".

Sebanyak 34 Perintah-Perintah telah dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebanyakannya ataupun kesemua undang-undang yang disenaraikan dalam Kertas Nombor 1 Tahun 2018 telah pun diluluskan secara Emergency Orders dan sudahpun berjalan dan digunapakai pada Tahun 2017 yang lalu dan sebahagian lagi telah mula berjalan pada tahun ini 2018.

Manakala Ketetapan Kedua ialah di bawah Bab 4 ceraian (2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) dicadangkan oleh Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, supaya "Majlis ini dengan ini membuat ketetapan seperti yang dikehendaki oleh bab 4(2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) bahawa perbelanjaan sejumlah BND900,000,000.00 (Sembilan ratus juta ringgit) untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tersebut di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Belanjawan Kemajuan 2018/2019, dibentangkan sebagai Kertas Bilangan 2 Tahun 2018".

Kedua-dua buah ketetapan ini telah diluluskan dengan sebulat suara dengan tidak perlu dibahaskan.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara jugah diakhiri dengan Ucapan-Ucapan Penangguhan yang telah dicadangkan oleh Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; disertai dengan seramai 18 orang Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dan seramai 5 orang Ahli Yang Berhormat Rasmi Kerana Jawatan ikut serta di dalam Sesi Ucapan-Ucapan Penangguhan ini.

Sementara itu, di dalam Ucapan Penangguhan Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menyentuh mengenai keadaan iklim ekonomi Negara Brunei Darussalam iaitu pada masa ini secara gradual ada peningkatannya; dan kita haruslah bersyukur dan positif kerana kita masih dapat menikmati faedah-faedah dan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia secara percuma. Walau bagaimana pun janganlah dulu merasa 'complacent' atau selesa dengan peningkatan kemudahan ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua juga telah juga menyatakan tentang kepentingan untuk kita terus memperkasa pembangunan inovasi yang terancang dan strategik serta mengekalkan usaha-usaha melipat gandakan dan mempelbagaikan ekonomi negara ini ke arah pembangunan pelbagai sektor seperti dibidang pertanian, agrimakanan serta industri pelancongan yang boleh menjana ekonomi Negara Brunei Darussalam dalam mengubah landskap negara daripada bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan gas dengan penglibatan semua stakeholders.

Dan pada masa yang sama, ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita perlu memupuk dan mengamalkan nilai-nilai teras konsep Melayu Islam Beraja dalam memartabatkan budaya tradisional yang telah diamalkan bertahun-tahun dahulu.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini ditangguhkan mengikut Peruntukan 35 (i) dari Peraturan Majlis Mesyuarat Negara, dan akan bersidang semula pada satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya.

Attachments