Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

20.03.18 Sumbangan Dan Fikiran Ahli-Ahli MMN Membantu Negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Mac. – Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim menekankan bahawa peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) adalah sesuai dengan harapan yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, supaya Majlis akan dapat bersidang dengan ahli-ahli semua dapat mengemukakan buah fikiran serta seterusnya mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan-perubahan besar kepada negara.

Kenyataan tersebut diucapkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pada Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis di sini, ketika mengusulkan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 MMN ditangguhkan.

Yang Berhormat dalam pada itu melahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, atas kebijaksanaan dan kesabaran dalam memimpin dan memandu permesyuaratan dengan kemas dalam suasana yang harmoni, transparent dan muhibah.

"Ucapan terima kasih juga kaola tujukan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis, yang cekap setiap hari menyusun perkara-perkara yang dimesyuaratkan dan juga kepada seluruh pegawai dan kakitangan yang bekerja keras bagi menjayakan dan buat semua Ahli Yang Berhormat kerana telah menyokong dan meluluskan pembentangan Belanjawan Bagi Tahun Kewangan 2018/2019 yang membawa tema, "Perbelanjaan Produktif dan Berinovasi Bagi Memelihara Kemakmuran Negara", kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa menghargai peranan seramai 13 orang Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan sekitar 40 isu berkaitan dengan Jabatan Perdana Menteri yang telah menyumbangkan buah fikiran yang ikhlas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang sememangnya sangat-sangat diperlukan bagi membantu kerajaan amnya dan Jabatan Perdana Menteri khususnya, untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.

Saranan dan maklum balas Ahli-Ahli Yang Berhormat, menurut Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan dijadikan sebagai nilai tambah dan input dengan sebarang penelitian dasar dan strategi yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan khususnya di Jabatan Perdana Menteri berasaskan keutamaan dan keperluan. Begitu juga buat Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan-soalan dan membuat kenyataan-kenyataan yang penuh dengan kebijaksanaan dan relevan mengenai perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat dan negara.

Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menyuarakan rasa kagum dengan performance Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik termasuk Yang Berhormat Ahli-Ahli Wanita dalam melontarkan soalan-soalan dan kenyataan-kenyataan mereka itu yang mana menurut Yang Berhormat nyatalah menunjukkan usaha mereka yang gigih pada mengemukakan maklumat-maklumat, fakta-fakta dan statistik yang telah mereka research dengan teliti.

Cara Ahli-Ahli Yang Berhormat menyarankan soalan-soalan itu kata Yang Berhormat sesuai dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, supaya semua Ahli akan terlibat memberikan pendapat atau pandangan tanpa takut takut atau ragu-ragu demi kebaikan bersama dan negara.

"Kaola juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kaola yakni Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan serta memberikan kenyataan yang begitu terperinci dan jelas mengenai jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah kementerian masing-masing.

Kaola dan rakan sejawatan kaola di Jabatan Perdana Menteri khususnya akan sentiasa bersedia untuk mendengar lebih banyak cadangan dan saranan bernilai tambah yang menjurus kepada cara-cara meningkatkan produktiviti kerajaan dan menjana pertumbuhan ekonomi termasuk inisiatif-inisiatif bagi memakmurkan lagi hasil-mahsul negara," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dapat meneruskan permuzakarahan di luar Dewan bagi membincangkan dan mencadangkan perkara yang dapat membawa perubahan besar seperti yang dihasratkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Semua pihak tekan Yang Berhormat hendaklah dengan sewajarnya sentiasa mengambil ingatan dan memahami situasi yang sedang dihadapi oleh negara.

"Hendaklah secara terus menerus bersatu padu dan bekerjasama dalam mendukung kepimpinan raja yang kita kasihi, raja yang sangat mengambil berat dan mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini dengan pendekatan whole of nation yang boleh diterjemahkan sebagai Negara Brunei Darussalam dan segala isi di dalamnya.

Selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sama ada sebagai individu, anggota masyarakat, kakitangan perkhidmatan awam, pekerja swasta dan lain-lainya hendaklah menyahut seruan kerajaan untuk membangun negara sesuai dengan peranan dan kemampuan kita masing-masing, jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga berharap agar segala perancangan kerajaan akan sentiasa mendapat sokongan dan dukungan dari semua peringkat dan segala usaha akan membuahkan hasil seperti mana juga yang sama-sama dihasratkan.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri akan sentiasa mengalu-alukan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk datang berbincang pada menyuarakan dan mengemukakan pandangan serta cadangan bagi kebaikan kerajaan dan negara yang dicintai. 

Attachments