Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

19.03.18 Stesen Pemeriksaan Kenderaan Akan Dilaratkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Mac.- Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang sebelum ini dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, kini juga dapat diberikan oleh syarikat-syarikat swasta yang berperanan sebagai Stesen Pemeriksaan Kenderaan atau (Vehicle Inspection Stations) di Daerah Brunei dan Muara.

Kementerian Perhubungan, melalui Jabatan Pengangkutan Darat sedang mengusahakan bagi Stesen Pemeriksaan Kenderaan untuk dilaratkan ke daerah-daerah lain.

Langkah berkenaan bukan sahaja memberikan kemudahan dan pilihan kepada orang ramai, malah ia telah dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak BND850,000.00 (Lapan Ratus Lima Puluh Ribu Ringgit Brunei) setahun dan pada waktu yang sama membuka peluang penyertaan swasta dalam memberikan kemudahan pilihan perkhidmatan kepada orang ramai.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof menyatakan demikian semasa menyampaikan mukadimahnya bagi Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan majlis, di sini.

Semasa mengongsikan mengenai inisiatif utama Kementerian Perhubungan yang telah dilaksanakan; perkembangan dan perancangan serta hala tuju bagi Tahun Kewangan 2018 / 2019, Yang Berhormat turut menjelaskan, prosedur di jabatan-jabatan juga diperbaiki dengan tujuan memudah cara penglibatan sektor swasta.

Sebagai contoh, ialah pengisian ruang-ruang yang boleh disewakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejak terminalnya dimodenkan pada tahun 2014. Kadar pengisian ruang-ruang yang boleh disewakan telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dari setahun ke setahun.

Setakat ini menurut Yang Berhormat, dianggarkan hampir 80 peratus daripada ruang yang boleh disewakan telah diisi oleh penyewa yang terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan dan luar negara.

Inisiatif tersebut jelasnya, telah meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengunjung serta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di mana syarikat-syarikat runcit (retail) dan tempat-tempat makan yang beroperasi telah mengambil seramai 342 pekerja yang mana 73 peratus adalah terdiri dari anak-anak tempatan.

Dalam sektor ICT pula tambah Yang Berhormat, melalui kawalseliaan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), kadar liputan dan penggunaan perkhidmatan telefon bimbit menunjukkan satu perkembangan positif dengan adanya usaha berterusan dari syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan, iaitu DST Communications dan Progresif Cellular.

''Terdapat peningkatan dalam infrastruktur menara telekomunikasi, dimana dalam perkembangan terkini, usaha berterusan ini telah dapat memberikan kadar liputan perkhidmatan telefon bimbit kepada 341 buah kampung, daripada sejumlah 432 buah kampung ataupun hampir 80 peratus dari semua kampung-kampung di seluruh negara.''

''Ini termasuklah penyediaan liputan bagi keperluan para pengguna di kawasan sekitar Lebuhraya Lumut - Telisai, dengan adanya menara yang sudah mula beroperasi baru-baru ini,'' jelas Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Kementerian Perhubungan dan AITI menyedari masih ada ruang yang perlu diperbaiki, khususnya di mana ada masih beberapa buah kampung lagi yang mempunyai masalah liputan perkhidmatan telefon bimbit.

Kerjasama dan perundingan bersama pihak-pihak yang berkenaan tambah Yang Berhormat, akan digiatkan bagi memastikan liputan perkhidmatan telefon bimbit dapat diperoleh untuk kegunaan penduduk di kampung-kampung berkenaan.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, dalam bidang pembangunan kapasiti ICT, pihak AITI juga telah menjalankan, program Celik ICT yang mendapat sambutan yang baik, termasuk dalam kalangan Majlis Perundingan Kampung, khususnya bagi mendukung inisiatif 1 Kampung 1 Produk (1K1P).

Program itu, ujar Yang Berhormat, melibatkan peserta seramai 85 orang daripada 50 Majlis Perundingan Kampung di seluruh negara dan AITI akan meningkatkan lagi pemberigaan program ini secara berterusan bagi menarik lebih banyak penglibatan daripada orang ramai yang berminat.

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments