Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

16.09.17 Yang Di-Pertua MMN Menghadiri Perhimpunan Agung AIPA Ke-38 di Manila

Makati Shangri-La, Manila, 16 September 2017 – Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) ke-38 telah dibuka rasmi pada hari ini oleh Yang Berhormat Aquilino Pimentel III, Presiden Dewan Senat Republik Filipina.  Tema perhimpunan Agung AIPA pada tahun ini adalah "AIPA and ASEAN: Partnering for Inclusive Change"

Di dalam ucapannya, Presiden Dewan Senat Republik Filipina telah menyatakan bahawa AIPA dan ASEAN mempunyai kaitan yang signifikan dan berhubung rapat di antara satu sama lain; ketika ASEAN berkembang, begitu juga dengan AIPA. ASEAN ditubuhkan untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau. Manakala, AIPA ditubuhkan untuk membantu mencapai matlamat ASEAN.   Walau bagaimanapun, ASEAN, seperti mana-mana organisasi serantau yang lain, juga tidak kurang menghadapi beberapa cabaran. Akan tetapi, dengan apa jua bantuan yang dihulurkan, ASEAN dapatlah memaksimakan dan memanfaati bantuan tersebut.  Oleh itu, AIPA adalah disarankan bagi membantu ASEAN dari apa jua segi pertolongan. Melalui aktiviti-aktiviti AIPA, beliau berharap ianya dapat menangani cabaran yang dihadapi oleh ASEAN dan melahirkan kepercayaan bahawa dengan kerja berpasukan di antara ASEAN dan AIPA, kepentingan AIPA kepada rakyat ASEAN akan terjamin. Akhir sekali, dengan berpandukan kerjasama di antara AIPA dan ASEAN, beliau berharap ianya akan dapat meningkatkan kualiti hidup semua warga negara ASEAN.

Pada Majlis Pembukaan Rasmi Perhimpunan Agung ini, Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Rombongan.  Turut sama hadir adalah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat beserta dengan enam (6) orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

AIPA GA 38th.JPG

Sebelum Majlis Pembukaan Rasmi diadakan, Speaker-Speaker negara Ahli AIPA telah menghadiri Mesyuarat Komiti Eksekutif.  Pada mesyuarat ini, agenda-agenda di peringkat komiti, resolusi-resolusi dan perkara-perkara berbangkit dibincangkan. 

Di Majlis Pembukaan Rasmi Perhimpunan Agung AIPA, Yang Berhormat Pantaleon D. Alvarez, Presiden AIPA dan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Filipina turut sama memberikan ucapan alu-aluan dan mengucapkan selamat datang kepada para delegasi.  Yang Berhormat merakamkan rasa berbesar hati diberi peluang untuk menjadi Presiden kepada AIPA tahun ini memandangkan ianya adalah tahun yang signifikan bagi  AIPA kerana AIPA menyambut ulang tahunnya yang ke-40.  Beliau menyatakan bahawa matlamat ASEAN untuk identiti serantau dan komuniti bersepadu telah mendorong AIPA untuk lebih bergiat aktif. Pembaharuan AIPA dari AIPO pada tahun 2006 bertujuan untuk memastikan AIPA berfungsi sebagai penghubung yang akan menghubungkan masyarakat  Asia Tenggara. AIPA, selaku wakil perwakilan rakyat ASEAN, telah menunjukkan kesungguhannya untuk menyumbang secara signifikan dalam komuniti ASEAN. Beliau juga yakin bahawa ASEAN akan dapat mengiktiraf penyertaan dan kerjasama para ahli parlimen sekiranya Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dapat direalisasikan.  Yang Berhormat, selaku Presiden AIPA kali ke 38, seterusya memberikan sokongan penuh ke atas Negara Filipina dalam memimpin ASEAN ke arah merealisasikan aspirasi kolektif rakyatnya untuk masyarakat yang damai, progresif, dan pemedulian.

Seperti lazimnya setiap negara Ahli AIPA menyampaikan Ucapan Perutusan daripada Ketua-Ketua Negara ahli AIPA.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah perutusan baginda telah mengutuskan bahawa 40 tahun sejak penubuhannya, AIPA telahpun berjaya merealisasikan beberapa usaha bersama. Peranan AIPA telahpun membantu ASEAN dalam bergerak ke arah Komuniti ASEAN.  Sehingga kini, AIPA telahpun memainkan peranan penting dalam memastikan dasar-dasar serantau ASEAN dapat difahami oleh rakyat negara-negara ASEAN dengan memastikan parlimen setiap negara ahli mempercepat sokongan yang diperlukan dan disampaikan dengan jelas kepada rakyat. Tidak dinafikan lagi, ini akan menghubungkan kerajaan dengan rakyat dalam mewujudkan komuniti yang bersatu padu, bersepadu dan bertanggungjawab. Baginda seterusnya memuji ketekunan AIPA dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan Sustainable Development Goals, Perubahan Iklim, Gejala Dadah, Jenayah Merentas Sempadan, Pekerja Asing dan pelbagai perkara yang bukan hanya menjadi kebimbangan negara-negara ASEAN tetapi dunia amnya.

Di Sidang Sesi Plenari Pertama yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Presiden AIPA, Speaker-Speaker negara Ahli AIPA telah dijemput untuk memberikan ucapan.  Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam telah berucap bahawa tahun 2017 adalah tahun yang penting bagi AIPA yang mana ianya menyambut ulang tahun ke-40 sejak penubuhannya pada tahun 1977 dan juga merupakan detik bersejarah bagi negara ASEAN yang menyambut ulang tahun ke-50. Sepanjang penubuhannya, ASEAN dan AIPA telah menunjukkan hubungan kerjasama yang erat melalui penglibatan yang penting dan telahpun berjaya membawa rakyat ke arah yang lebih dekat kepada ASEAN, iaitu bersesuaian dengan tema tahun ini "AIPA and ASEAN: Partnering for Inclusive Change".  Yang Berhormat Pehin juga telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Republik Filipina kerana telah menjadi tuan rumah bagi kedua-dua peristiwa penting tersebut.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan sentiasa memberi sokongan padu dalam meningkatkan lagi penglibatan negara dengan AIPA.  AIPA semakin matang  dan sensitif terhadap persekitarannya yang mana isu-isu penting menjadi topik perbincangan dalam Komiti Politik, Ekonomi, Sosial, WAIPA dan Organisasi. Yang Berhormat Pehin menyatakan harapan agar negara-negara ahli AIPA akan dapat terus maju ke hadapan dalam mencapai hasrat dan kehendak kolektif bagi kehidupan yang aman dan stabil, pertumbuhan ekonomi yang mapan, perkongsian kemakmuran dan kemajuan sosial untuk maju ke arah ASEAN 2025.

Speaker at AIPA GA 38th.JPG

Perhimpunan Agung ini akan bersidang selama lima hari dan akan membincangkan isu-isu serantau di peringkat Komiti Eksekutif, WAIPA, Politik, Ekonomi, Sosial, Organisasi dan Joint Communique


Attachments