Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

08.12.20 Pelajari Kemajuan, Kejayaan MPK Sungai Bunga

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Disember. - Rombongan seramai 42 orang Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim Bokok dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Zon 2, Daerah Temburong pagi tadi mengadakan Lawatan Kerja ke MPK Sungai Bunga.

Rombongan diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Sabtu, Penghulu Mukim Bokok.

Turut hadir menyertai rombongan ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Penghulu Mukim Kota Batu.

Ketibaan rombongan di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung, MPK Sungai Bunga dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh serta Ahli-ahli MPK Sungai Bunga.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Zaini antara lain mengongsikan mengenai aktiviti, pencapaian dan produk-produk yang diusahakan oleh MPK Sungai Bunga di mana mereka mempunyai dua jenis produk 1 Kampung 1 Produk (1K1P) iaitu pemprosesan makanan laut, keropok ikan, udang, sotong dan makanan tradisional serta perkhidmatan pelancongan.

Beliau turut menyatakan bahawa Kampung Sungai Bunga merupakan satu-satunya kampung yang menawarkan perkhidmatan pelancongan berasaskan komuniti.

Sementara itu, dalam ucapan balas oleh Yang Berhormat Awang Haji Emran menyatakan antara tujuan lawatan rombongan tersebut ialah untuk melihat dan mempelajari lagi kemajuan dan kejayaan yang dicapai oleh MPK Sungai Bunga untuk diterapkan bagi MPK-MPK di Daerah Temburong.

Pada lawatan tersebut, rombongan berpeluang menyaksikan sendiri demonstrasi pemprosesan dan pembuatan Keropok Udang, Kuih Sapit dan juga Taufu fah dan dialu-alukan untuk ikut serta memproses dengan mengikuti Standard Operating Procedur yang ditetapkan.

MPK Sungai Bunga melalui Biro Ekonomi dan Pelancongan dan Biro Wanita dan Kotej Industri MPK Sungai Bunga aktif menyediakan pakej-pakej lawatan singkat dan program inap desa kepada pelancong-pelancong dalam dan luar negeri.

Dalam era pandemik COVID-19 ini, MPK Sungai Bunga menggalakkan melancong di dalam negeri melalui promosi-promosi yang sedang giat dijalankan pada masa sekarang bagi mengekang penularan virus tersebut di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Program Lawatan Singkat (Day trip) yang diungkayahkan oleh MPK Sungai Bunga antaranya bertujuan bagi menyokong promosi melancong di dalam negara yang giat dijalankan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Di samping itu, orang ramai boleh melihat lebih dekat dan berkongsi pengalaman bagaimana mengerakkan aktiviti ekonomi bagi sesebuah mukim dan kampung khususnya mengusahakan projek 1K1P.

Dalam masa yang sama juga mengenal lebih dekat keindahan kampung-kampung yang terdapat di NBD lebih-lebih lagi yang giat mengusahakan perkhidmatan pelancongan yang menjadi keunikan yang mampu menarik pelawat-pelawat dari dalam dan luar negara.


(sumber berita: Pelita Brunei)


Attachments