Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

26.09.20 Mempelajari Bahasa Isyarat Alat Komunikasi Secara Universal

BERAKAS, Jumaat, 25 September. - Bahasa Isyarat merupakan kaedah komunikasi yang tidak menggunakan suara, tetapi hanya menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat dan melahirkan fikiran seorang penutur.

Bila mana terdapat komuniti orang pekak, Bahasa Isyarat akan wujud. Tatabahasa spatial dalam Bahasa Isyarat dari segi struktur ayat sangat berbeza dengan tatabahasa pertuturan. Terdapat beratus Bahasa Isyarat digunakan di dunia ini dan ia merupakan teras budaya pekak tempatan.

Sehubungan itu, Youth Outreach Team dengan kerjasama Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan Brunei Darussalam mengadakan Bengkel Asas Bahasa Isyarat Kali Pertama Tahun 2020 selama dua hari bermula 25 hingga 26 September 2020, bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari.

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Ketua Program berkenaan, Dayang Amirah Syahirah binti Haji Zulaiehi berkata, bengkel ini dikendalikan oleh Youth Outreach Team yang terdiri daripada para penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang sedang menjalankan Discovery Year 'Community Outreach Programme' di bawah penyeliaan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa.

Menurutnya, seramai 49 peserta dan lapan fasilitator program sedang mengikuti bengkel ini yang dikendalikan dengan kerjasama persatuan berkenaan.

Bengkel Bahasa Isyarat ini, ujarnya, dihasrat untuk meningkatkan kesedaran terhadap golongan-golongan yang kurang bernasib baik, terutamanya orang kurang pendengaran, selain untuk menarik orang ramai yang berminat untuk mengenali dan mempelajari Bahasa Isyarat.

"Bengkel bertujuan untuk memberikan kesempatan pada orang ramai yang berminat untuk mempelajari Bahasa Isyarat dengan lebih lanjut. Para peserta akan mempelajari beberapa asas isyarat, seperti bentuk tangan, abjad, nombor dan ruang isyarat," jelasnya.

(sumber berita: Pelita Brunei)


Attachments