Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

09.01.20 MTIC Adakan Sesi Muzakarah Bersama Ahli-Ahli MMN

Bandar Seri Begawan, Khamis, 9 Januari - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) mengadakan Sesi Muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Tingkat 1, Bangunan MTIC, di sini.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Sementara itu, rombongan Ahli Majlis Mesyuarat Negara seramai 18 orang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi.

Sebelum Sesi Muzakarah dimulakan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terlebih dahulu berpeluang menyaksikan 'Innovation Showcase' dan juga Galeri Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang masing-masing memperlihatkan inovasi pintar melalui konsep 'Smart Home' sebagai gambaran secara sepintas lalu cara hidup pintar dalam masa terdekat yang dimudahcara dengan kemajuan teknologi dan inovasi terkini dalam Revolusi Industri 4.0.

Manakala pada Galeri MKKJR, rombongan juga menyaksikan kemajuan-kemajuan terkini dalam usaha mengurangkan kadar terjadinya kemalangan dijalan raya di negara ini kepada sifar menjelang tahun 2025. Usaha tersebut termasuk projek yang dikenali sebagai RADED (Road Accident Data Development and Enhancement) yang merupakan sebuah sistem pangkalan data (database) secara berkomputer yang membolehkan penganalisaan terperinci dalam menstrategikkan lagi inisiatif-inisiatif keselamatan jalan raya secara keseluruhan.

Sesi Muzakarah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Pengiran Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah yang diikuti dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Dalam ucapan alu-alu tersebut beliau antaralain mengongsikan mengenai rangka kerja Pelan Induk Ekonomi Digital di samping aspek-aspek utama dalam Perancangan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 2025 yang bakal dilancarkan pada tahun ini.

Seterusnya Yang Berhormat Menteri turut menyentuh peranan MTIC yang semakin meluas yang kini melibatkan antara lainnya aspek sekuriti siber, e-Kerajaan, Sains dan Teknologi.

Turut dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri ialah pelan tindakan MTIC yang disasarkan bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Sesi Muzakarah antara MTIC dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah satu platform untuk berbincang secara terbuka dan bertukar-tukar pandangan dalam suasana muhibah mengenai sektor pengangkutan dan infokomunikasi terutama sekali dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan di bawah MTIC demi kepentingan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap MTIC, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi Dan Korporat), Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perancangan dan Korporat), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak; Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-ketua Jabatan dan Pihak Berkuasa serta Pegawai-pegawai Kanan MTIC.

 

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments