Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

15.12.19 Amal Konsep Kehijauan, Persekitaran Bersih

Belait, 15 Disember - Sebagai sebahagian daripada aktiviti pertamanya sejak ditubuhkan awal bulan lalu, Pergerakan Belia Minda dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait serta Green Depot, pusat kitar semula di daerah ini, telah menjalankan kempen City Clean Up, hari ini.

Kempen pembersihan yang bermula di Bangunan Serba Guna Jabatan Belia dan Sukan (JBS) di Jalan Bunga Rambai, Kuala Belait itu diadakan bersempena dengan Hari Sukarelawan dan Kempen Hari Bertindak.

Lebih 40 orang sukarelawan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, membersihkan kawasan sekitar Pekan Kuala Belait yang meliputi kawasan dua kilometer.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan kempen dan menyertai kempen pembersihan jalan, ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Ketua JBS Daerah Belait, Awang Mohd Shah Johan bin Haji Shari serta pegawai-pegawai kanan dan perwakilan daripada KKBS, JBS Daerah Belait dan Green Depot.

Presiden Pergerakan Belia Minda, Awangku Mohd Hadi Nazmi bin Pengiran Haji Rosli dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, dengan mengendalikan kempen berkenaan telah membolehkan mereka untuk merealisasikan pendekatan seluruh negara di bawah tema 'Sukarelawan bagi Masa Depan Inklusif'.

Menurut beliau, kempen berkenaan bukan sahaja berobjektif untuk memberi respons kepada seruan untuk bertindak dalam membantu mewujudkan persekitaran bersih dengan mengamalkan Konsep Go Green, malah ia juga merupakan peluang untuk meluangkan masa hujung minggu dengan menyertai aktiviti sihat dan produktif, pada masa yang sama meningkatkan penglibatan belia dalam komuniti serta aktiviti kesukarelawan.

Beliau turut mengongsikan bahawa di samping kempen berkenaan, terdapat enam aktiviti lain dijalankan sempena Hari Bertindak di Daerah Belait, termasuk membersihkan masjid, Karnival H.I.T, Projek Minda Prihatin, kempen pembersihan taman jubli dan pantai, aktiviti amal kembali ke sekolah dan Operasi Selesa.

Kempen pembersihan bermula dengan tetamu kehormat memasukan bahan kitar semula yang pertama dikutip ke dalam tong pengumpulan.

 

(sumber berita: Media Permata)​

Attachments