Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

21.11.19 Ahli MMN Menyaksikan Latihan Tindak Balas Kecemasan

SERASA, Khamis, 21 November. - Latihan-latihan tindak balas kecemasan bagi insiden-insiden keselamatan sangat penting ke arah memastikan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) tetap siap siaga bagi menangani sebarang kejadian kecemasan yang tidak diduga terjadi.

Ke arah ini, satu Latihan Keselamatan Maritim (MSE) diadakan pagi tadi, bertempat di Jeti Terminal Penumpang Serasa di Serasa, Muara, di sini.

Hadir menyaksikan latihan tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Juga hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Ahli-ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (Maritime Port Authority Brunei Darussalam - MPABD) dan Setiausaha Tetap serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), MTIC.

Selain sebagai persediaan bagi Mesyuarat MMN yang akan diadakan pada bulan Mac 2020, objektif utama latihan tersebut adalah untuk mendemonstrasikan kepada Ahli-ahli MMN kesiapsiagaan kecemasan dan krisis agensi-agensi seperti MPABD di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Latihan simulasi yang diadakan melibatkan kapal Shuttle Hope yang berlepas dari Terminal Penumpang Serasa menuju ke Labuan.

Kapal tersebut kemudiannya mengalami kegagalan enjin disebabkan oleh kebakaran. Dengan itu, kapal tersebut tidak berupaya untuk mengendalikan perjalanan dan mula hanyut ke arah 'buoy' SPM Hengyi dan didapati seorang krew kapal cedera.

Ketua kapal Shuttle Hope segera menghubungi Perkhidmatan Trafik Perkapalan Muara (VTS) untuk memohon bantuan segera.

Setelah menerima panggilan tersebut, VTS Muara mengaktivasikan protokol kecemasan yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri dan para jemputan yang hadir.

Selain itu, latihan keselamatan itu juga melibatkan beberapa agensi antaranya Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pusat Kebangsaan Pengurusan Bencana (NDMC), Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan yang lain serta wakil-wakil dari sektor swasta.

Justeru itu, dengan adanya latihan seumpama ini dapat menguji pelan kecemasan bagi menangani akibat-akibat sebarang situasi kecemasan, di samping meneliti prosedur-prosedur perhubungan bagi penyelamatan dan pemindahan penumpang-penumpang apabila berlakunya kejadian kecemasan.

Inisiatif ini turut mendukung antara enam teras strategik di bawah Keselamatan dan Kesejahteraan seperti yang terkandung di dalam Pelan Strategik MTIC 2025 yang dikemas kini bagi memastikan piawaian-piawaian keselamatan, kesiapsiagaan dan pematuhan dalam kedua sektor pengangkutan dan infokomunikasi demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bagi pengusaha dan lebih penting lagi bagi pengguna dan orang ramai.

Lawatan menyaksikan latihan kecemasan maritim di Serasa kali ini merupakan lawatan pertama dalam rancangan yang disusun oleh MTIC untuk Yang Berhormat Ahli-ahli MMN bagi memberikan tinjauan yang lebih dekat kepada inisiatif-inisiatif strategik seperti Keselamatan dan Kesejahteraan terutama sekali bagi orang ramai yang merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dikompromi serta memastikan kompetensi, keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menjamin kredibiliti MPABD ke arah menjamin keselamatan dan pengawalseliaan perairan Negara Brunei Darussalam.

 

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments