Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

30.08.19 MMN Menghadiri Perhimpunan Agung AIPA Ke-40

Bangkok, Thailand, 30 Ogos 2019 – Perhimpunan Agung ASEAN  Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) ke-40 telah diadakan pada 25 hingga 30 Ogos 2019 yang dihadiri oleh sepuluh (10) buah negara-negara Parlimen ASEAN.  Perhimpunan Agung ini telah diadakan di Hotel Shang Ri-La, Bangkok, Thailand.  Tema perhimpunan Agung AIPA pada tahun ini adalah "Advancing Parliamentary Partnership for Sustainable Community".   Negara Brunei Darussalam dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang       Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara dan 9 orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Hadir bersama ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat. 

Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan sebuah utusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perhimpunan Agung ke-40 yang menyatakan tentang tema Perhimpunan Agung Ke-40 ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) tahun ini adalah bersesuaian dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini dan tepat pada masanya apabila negara-negara ASEAN berusaha untuk mencapai Wawasan ASEAN Komuniti 2025.  Ke arah Komuniti ASEAN yang mampan, memerlukan sokongan, kerjasama dan perkongsian di kalangan semua pihak termasuk badan perundangan di ASEAN.

Dalam menanai visi Komuniti ASEAN 2015 yang membangun dan berkembang ke luar ASEAN, AIPA hendaklah berterusan berkembang lebih konstruktif dalam penglibatan yang lebih efektif dan meningkatkan kerjasama antara kerajaan masing-masing bukan saja dilingakaran ASEAN tetapi diluaskan di luar ASEAN.

Di dalam memetik perutusan Baginda juga, melalui Interface Pemimpin ASEAN dengan AIPA semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok tahun ini, pemimpin ASEAN dan AIPA berpeluang membincangkan mengenai kerja-kerja ASEAN di semua peringkat dan cara untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan AIPA. Pihak ASEAN sangat menghargai dialog peringkat tinggi dan perkongsian strategik dengan AIPA.

Baginda juga menyedari bahawa agenda untuk Perhimpunan Agung AIPA ke-40  tahun ini terus menyentuh mengenai isu-isu yang dapat memperkukuhkan perkembangan masa lalu AIPA, termasuk yang ditekankan oleh Negara Brunei Darussalam.  Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong kerja-kerja AIPA untuk mencapai matlamat bersama untuk kepentingan kolektif rakyat kita.

Mengakhiri perutusan Baginda, AIPA akan menjadi komponen penting dalam rancangan dan usaha ASEAN untuk mencapai Komuniti ASEAN yang mampan.

Majlis Pembukaan Rasmi yang diadakan pada hari tarikh 26 Ogos 2019 telah dibuka rasmi oleh Tuan Yang Terutama Mr. Chuan Leekpai, Presiden National Assembly of Thailand dan Presiden AIPA.  Pada pembukaan rasmi tersebut beliau telah memberi kenyataan bahawa AIPA telah menjadi platform bagi mempromosi kerjasama antara para Ahli Parlimen ASEAN selama 42 tahun. Dari peringkat rendah, AIPA telah berkembang dan merangkumi kesemua 10 Ahli Parlimen, serta 12 Parlimen Pemerhati dari seluruh dunia. Pencapaian ini adalah suatu yang luar biasa bagi rantau yang luas dan pelbagai seperti ASEAN, berdiri di bawah satu sepanduk sebagai bukti aspirasi bersama. 

Tuan Yang Terutama juga menyatakan bahawa adalah penting negara rantau ASEAN untuk terus berwaspada agar tidak dikecualikan oleh gelombang perubahan. Kebangkitan ekstremisme, ancaman perubahan iklim, bahaya penghijrahan dan rasuah mengingatkan kita bahawa dunia tidak berhenti berpaling dan walaupun negara-negara berjuang untuk berdiri dan bertahan, cabaran baru akan terus mengancam untuk melemahkan pencapaian kita.  

Tuan Yang Terutama kemudiannya mengongsikan beberapa pengajaran utama iaitu memberikan keutamaan terhadap isu-isu yang penting untuk memastikan sumber yang terhad kita boleh memberikan faedah kepada rakyat jelata.  Selain itu, negara-negara anggota ahli AIPA juga perlu bekerjasama sama ada di kalangan negara kita atau dengan rakan sekerja di Sekretariat ASEAN.  Beliau juga menyatakan bahawa kita harus menghormati kedaulatan undang-undang kerana melaluinya kita dapat mengekalkan ketertiban dalam masyarakat.

Selaras dengan ucapan alu-aluan Tuan Yang Terutama General Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand semasa Majlis Pembukaan Rasmi tersebut yang juga menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada mekanisme pemacu utama dalam meningkatkan komuniti dan mencapai Matlamat ASEAN, AIPA adalah perkongsian rapat ASEAN ditubuhkan untuk menjadi organisasi yang selari bersama cawangan eksekutif melalui proses perundangan dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan tiang komuniti ASEAN ketiga iaitu tiang komuniti sosio-budaya ASEAN berorientasikan masyarakat.  Cawangan eksekutif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memerlukan usaha dan sokongan bersama dari AIPA untuk meneruskan dasar-dasar yang diberikan oleh cawangan eksekutif kepada orang ramai untuk pelaksanaan dasar yang berjaya.  Tuan Yang Terutama kemudiannya berucap bahawa tahun 2019 dianggap sebagai tahun kerjasama bagi kemapanan ASEAN.  Tema ASEAN yang dipilih Thailand bagi tahun ini iaitu "Advancing Partnership for Sustainability" menjelaskan mengenai peningkatan kelestarian serantau dalam semua aspek.  Oleh itu penyertaan daripada semua stakeholders adalah perlu untuk mencapai matlamat ASEAN, dan AIPA sebagai cawangan perundangan ASEAN wakil rakyat membolehkan perlaksanaan undangundang domestik dan memudahkan penyelarasan undang-undang di kalangan negara anggota ASEAN.   

Yang Berhormat   Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam bersama Speaker-Speaker negara ahli AIPA dalam Mesyuarat Komiti Eksekutif telah telah membincangkan Agenda-Agenda Mesyuarat di Peringkat Persidangan Komiti, ResolusiResolusi yang akan dibincangkan serta perkara-perkara yang akan berbangkit.  Antara Agenda-Agenda pada Perhimpunan Agung ini termasuk yang telah dibincangkan pada Mesyuarat AIPA CAUCUS yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada bulan Jun 2019 seperti isu-isu berkaitan eksploitasi dan keganasan terhadap kanak-kanak dan mengenai perubahan iklim.  Sebanyak 32 agenda diketengahkan pada perhimpunan agung ini di bawah komiti WAIPA, Ekonomi, Sosial dan juga Organisasi.

Di Sidang Sesi Plenari Pertama yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Presiden AIPA, Speaker-Speaker negara Ahli AIPA telah dijemput untuk memberikan ucapan.  Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam memberikan ucapan bahawa tema Perhimpunan Agung pada tahun ini menggalakkan jangkaan negara-negara ASEAN dalam mengejar Komuniti ASEAN dalam mendukung kesejahteraan rakyat dan memastikan keharmonian dikecapi oleh semua pihak serta mempromosikan kesinambungan dalam semua dimensi.  

YDP semasa Opening Plenary (Ucapan).jpeg

Yang Berhormat menyatakan bahawa AIPA sentiasa menghadapi cabaran baru dalam mewakili suara rakyat.  Walau bagaimanapun, ianya adalah amat penting untuk mengenali dan menghormati negara-negara anggota AIPA, satu asas dalam membangunkan kerjasama tanpa gangguan, perundingan dan konsensus. Dalam pemerhatian perkongsian strategik yang semakin meningkat antara AIPA dan ASEAN selama ini, Yang Berhormat menyatakan ianya telah menunjukkan komitmen dan penglibatan negara-negara anggota AIPA dalam merealisasikan wawasan ASEAN dan pada akhirnya memastikan rakyat, baik sekarang dan masa depan, dapat terus menikmati kedamaian, kestabilan dan kemakmuran yang mampan.

Perhimpunan Agung AIPA adalah satu platform yang sangat baik dalam menyokong tema memajukan perkongsian parlimen dan mencapai matlamat untuk masyarakat yang mampan di ASEAN. Platform ini akan menggalakkan perbincangan dan perkongsian pengalaman dan pandangan yang bukan sahaja di kalangan ahli parlimen AIPA, tetapi juga dengan rakan-rakan dialog penting AIPA dalam amalan, peraturan dan dasar perundangan yang melindungi kepentingan dan hak rakyat.

Pada mengakhiri ucapan Yang Berhormat, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah menyatakan bahawa Perhimpunan Agung AIPA tahun ini akan membincangkan   isu-isu penting yang berkaitan dengan pembangunan Komuniti ASEAN.  Antaranya adalah seperti pemberdayaan wanita, memajukan pembangunan ekonomi yang inklusif, Revolusi Perindustrian Keempat, dan menjaga kehidupan warga emas yang juga merupakan beberapa kebimbangan dan keprihatinan Negara Brunei Darussalam.   Yang Berhormat menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha untuk menangani cabaran global dan serantau menerusi perkongsian dan multilateralisme.

Ketua-Ketua Delegasi Negara Parlimen AIPA.JPG

Perhimpunan Agung AIPA telah memasuki usianya 42 tahun.  Pada asalnya AIPA dibentuk pada tahun 1977 sebagai Pertubuhan Parlimen ASEAN (AIPO) oleh para pemimpin parlimen Indonesia, Malaysia, Philippines, Singapore dan Thailand yang menghadiri Persidangan Antara Parlimen ASEAN Ke-3  di Manila, Philippines.  Pada tahun 1995, Viet Nam telah menjadi ahli diikuti oleh   Republik Demokratik Rakyat Lao pada tahun 1997.  Seterusnya Cambodia menjadi ahli pada   tahun 1999   dan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2009.  

Pada Perhimpunan Agung AIPO ke-27 yang diadakan di Cebu City, Philippines pada tahun 2006, terdapat satu konsensus untuk mengubah organisasi menjadi institusi yang lebih efektif dan berintegrasi maka nama organisasi ditukarkan kepada AIPA.  AIPA juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan masyarakat ASEAN dengan dasardasar dan merealisasaikan wawasan ASEAN Komuniti 2025.  

Perhimpunan Agung ke-40 di Bangkok telah bersidang selama enam hari dan membincangkan isu-isu serantau di peringkat Komiti Eksekutif, WAIPA, Ekonomi, Sosial, Organisasi dan Joint Communique.  Sebanyak 29 buah resolusi telah diluluskan dan perhimpunan agung tersebut berakhir dengan menandatangani sebuah Joint Communique oleh ketua-ketua rombongan anggota ahli AIPA.

Menandatangani Joint Communique (Delegasi Brunei).jpeg

Attachments